Tengok ‘Live’ Gagak Bijak Masukkan Batu Dalam Botol Untuk Minum

Salah satu cerita dongeng terawal yang kita dengar ketika zaman kanak-kanak adalah kisah teladan Gagak Yang Bijak.

Cerita itu mengisahkan kebijaksanaan seekor burung gagak yang boleh dijadikan pengajaran bagi kanak-kanak bagi menggunakan akal fikiran dalam mencari penyelesaian masalah.

Dalam kisah Gagak Yang Bijak, seekor burung gagak yang dahaga terjumpa sebuah balang berisi air. Walau bagaimanapun, paruhnya tidak muat untuk dimasukkan ke dalam balang tersebut untuknya meminum air.

Si gagak kemudian mendapat idea untuk memasukkan batu-batu kecil yang terdapat di sekitarnya ke dalam balang tersebut agar air di dalamnya naik ke permukaan.

Walaupun ramai yang percaya cerita itu hanyalah sebuah kisah dongeng, sebuah video yang tular baru-baru ini membuktikan bahawa haiwan itu memang pandai menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Dalam video yang tular itu, seekor burung gagak menghampiri botol berisi air, namun air di dalamnya terlalu sedikit.

Sama seperti kisah teladan berkenaan, burung itu mengutip batu di atas tanah dan memasukkannya ke dalam botol terbabit sehinggalah berjaya meminum air di dalam botol itu.

Adegan tersebut membuat ramai yang terhibur kerana dapat menyaksikan kisah kanak-kanak itu dalam dunia sebenar.

Sumber: Himpunan Cerita Lawak

Harap Maaf