Peguam Negeri Sembilan tak puas hati Neelofa dapat parkir ‘VIP’

ISU pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) melibatkan pengacara dan usahawan popular, Neelofa masih hangat diperkatakan sehingga kini.

Terbaharu, Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan mendedahkan pihak mereka menerima aduan mempertikaikan layanan istimewa terhadap selebriti tersebut ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban pada Khamis.

Pengerusinya, Azmi Abdoll Aziz berkata, pihaknya menerima aduan pada petang Khamis selepas kes Neelofa dan suami, PU Riz dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban.

“Mereka (peguam) mempersoalkan mengenai layanan istimewa apabila kenderaan pasangan itu dibenarkan memasuki ke dalam kawasan kompleks mahkamah, sementara individu yang lain pula perlu meletakkan kereta di kawasan parkir di bahagian luar mahkamah.

“Aduan berkenaan dimajukan kepada Pengarah Mahkamah Negeri Sembilan, Madihah Harullah pada petang Jumaat lalu.

Neelofa dan suami rentas negeri beli karpet di Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

“Kita berharap pihak mahkamah akan memberi maklum balas dalam masa terdekat mengenai perkara terbabit,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

Dalam aduan tersebut, peguam berkaitan mempersoalkan layanan istimewa diberikan terhadap pasangan selebriti itu.

“Kami mempersoalkan kedudukan tertuduh tersebut di bawah undang-undang sehingga mereka dibenarkan mendapat layanan istimewa ini.

Surat aduan daripada Jawatankuasa Peguam-Peguam Negeri Sembilan.

“Menjadi tanggungjawab kami sebagai pengamal undang-undang untuk memastikan prinsip undang-undang dijaga dan tidak dimanipulasi oleh individu yang tidak patut diberi kepentingan,” kata pengadu tersebut.

Kenderaan BMW yang dinaiki Neelofa, 32, dan PU Riz atau nama sebenarnya, Haris Ismail, 26, dibenarkan memasuki dalam kawasan kompleks mahkamah dan dibenarkan parkir di premis disediakan.

Bagaimanapun difahamkan, tempat parkir berkenaan hanya untuk kenderaan kakitangan, peguam, polis, pendakwa raya dan pengecualian hanya kepada orang awam (orang kurang upaya).

Khamis lalu, pasangan terbabit dituduh di Mahkamah Majistret Seremban atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk masuk ke premis atau menulis secara manual pada buku disediakan ketika hadir di kedai karpet di Nilai 3, Nilai pada 2 Mei lalu.

PU Riz didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam, manakala Neelofa pula satu tuduhan tidak membuat aplikasi MySejahtera di premis berkenaan.

Pasangan itu mengaku tidak bersalah dan diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan sebut semula kes pada 4 Jun depan.

Sumber: mStar

Harap Maaf