Pegawai Nadma dipuji fasih cakap Mandarin dengan waris keluarga warga Malaysia di Wuhan

PENGUASAAN bahasa asing bukan sahaja memudahkan komunikasi, bahkan ia menjadi nilai tambah dalam diri seseorang.

Terbaharu, rakaman seorang wanita bertudung yang fasih berbahasa Mandarin menjadi tular di media sosial.

Video melibatkan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu meraih perhatian ramai setelah ia dikongsi di Facebook Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Pegawai Nadma yang sedang berhubung dengan waris keluarga warga Malaysia yang dibawa pulang dari Wuhan.

“Beliau mampu bertutur dalam Mandarin dengan baik sekali,” tulis Dr Wan Azizah pada Selasa.

Video berdurasi 21 saat itu sehingga kini menerima lebih 21,000 tontonan sejak dimuatnaik pada Selasa.

Posting di Facebook Dr Wan Azizah yang menarik perhatian ramai.

Pada hari yang sama, pesawat AirAsia membawa pulang 107 rakyat Malaysia dari Wuhan menersi penerbangan khas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Selain 107 penumpang, ia turut membawa 12 kru, lapan petugas misi dan enam pegawai dari Kedutaan Malaysia dari Beijing, menjadikan 133 orang jumlah keseluruhan yang menaiki pesawat dari Wuhan, lokasi yang dikenal pasti sebagai punca penularan koronavirus.

Menurut Dr Wan Azizah, semua penumpang, pasukan misi dan kru akan menjalani tapisan kesihatan di Unit Kecemasan Udara (ADU) di KLIA sebaik sahaja tiba di tanah air.

Mereka yang mempunyai simptom akan dibawa ke hospital manakala yang melepasi saringan terus ke pusat pemantauan.

Dalam pada itu, posting video pegawai wanita tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Rata-rata netizen memuji kebolehannya, tetapi ada juga yang mempertikaikan kenapa dia perlu berbahasa Mandarin dengan rakyat Malaysia yang menetap di China.

Dr Wan Azizah berkongsi video itu di laman Facebook miliknya pada Selasa.

“Hebat pegawai Nadma. Tapi timbul persoalan di fikiran kenapa menghubungi keluarga warga Malaysia tapi perlu berbahasa Mandarin? Kenapa tak berbahasa kebangsaan? Bukankah sebagai syarat warganegara mesti fasih bertutur bahasa kebangsaan?

“Bahasa tu aset. Semakin banyak bahasa yang boleh dikuasai, semakin banyak peluang untuk maju ke hadapan.

“Yang pelik dekat sini, cakap warganegara Malaysia tapi bahasa Malaysia tak faham,” tulis beberapa netizen.

 

Sumber: Mstar

Harap Maaf