Astro biaya kos penghantaran pulang jenazah Sandra Dianne

KOS penghantaran jenazah peserta Big Stage 2020, Allahyarham Sandra Dianne ke kampung halamannya di Sabah akan dibiayai sepenuhnya oleh stesen televisyen Astro.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, ia adalah usaha pihaknya dalam meringankan beban keluarga Allahyarham.

Tambah Emarina, Astro juga merancang untuk mengadakan majlis tahlil buat Allahyarham dalam masa terdekat.

“Pihak Astro khususnya seluruh warga produksi Big Stage 2020 masih terkejut dan cukup terkesan dengan khabar duka mengenai pemergian Allahyarham Sandra Dianne yang menghembuskan nafas terakhir awal pagi Jumaat.

“Kami akan membiayai kos penghantaran pulang jenazah ke Sabah dan menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban keluarga.

“Kami juga turut mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis tahlil buat arwah dalam masa yang terdekat,” ujarnya kepada mStar.

Tiada Konsert Big Stage minggu kelima.

Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuriam, 26, meninggal dunia pada pukul 1 pagi, Jumaat selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Jenazah Sandra akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kauluan, Tuaran, Sabah pada petang Jumaat.

Dalam pada itu, Emarina berkata, sebagai tanda penghormatan terakhir, tiada Konsert Big Stage 2020 minggu kelima pada Ahad ini seperti kebiasaan, sebaliknya bakal mengadakan sebuah konsert tribute istimewa berjudul #SandraDalamKenangan.

“Pemergian arwah adalah sebuah kehilangan besar buat kami. Oleh itu sebagai tanda penghormatan kami mengambil keputusan untuk tidak mengadakan Konsert Big Stage 2020 pada Ahad ini.

“Namun sebuah konsert tribute bagi mengenang arwah dan penglibatannya dalam industri seni tanah air terutamanya sepanjang Big Stage 2020 berlangsung,” ujarnya.

Sumber: mStar

Harap Maaf